Kebanyakan filem-filem atau drama di luar sana mengambil inspirasi daripada kisah benar.
Bukan itu sahaja malah permainan video turut ada yang dihasilkan berdasarkan kisah-kisah sebenar yang pernah berlaku di beberapa lokasi.
Berikut merupakan 3 permainan seram yang sudah disahkan memang bahawa mereka mengolah semula beberapa kisah seram atau bersejarah suatu ketika dahulu.
1. Outlast

Permainan video ini menampilkan seorang wartawan yang cuba untuk menggali kisah di sebalik sebuah hospital psikiatri sebagai watak utama.
Cara jalan cerita permainan Outlast memang seram sebab banyak bermain dengan elemen rakaman menerusi kamera, kejar-mengejar dan jumpscares.
Outlast ini sebenarnya terinspirasi daripada sebuah eksperimen CIA yang membabitkan teknik seksaan, terapi kejutan eletrik, hipnosis dan banyak lagi.
Digelar sebagai Projek MK-Ultra, idea disebalik projek ini adalah untuk membangunkan dadah mengawal minda yang boleh dijadikan senjata kuat Amerika Syarikat.
Sekurang-kurangnya satu orang telah meninggal dunia hasil uji kaji ini. Bagaimanapun, Projek MK-Ultra telah dihapuskan pada tahun 1973.
Pada tahun 2013, siri Outlast mula dikeluarkan menerusi perisian komputer serta kemudian ia juga dikeluarkan dalam siri permainan video PlayStation dan Xbox (2014) dan Nintendo Switch pada tahun 2018.
2. Fatal Frame

Fatal Frame merupakan antara permainan seram klasik yang popular di PlayStation 2. Dikatakan ia mengambil inspirasi daripada kisah lagenda seram di Jepun.
Memaparkan kisah tentang Himuro Mansion yang difahamkan merupakan sebuah lokasi sebenar di Tokyo, Jepun.
Menurut legenda, setiap 50 tahun akan ada satu ritual yang dikenali sebagai The Strangling Ritual. Ritual ini membabitkan pengorbanan seorang perempuan yang sudah dipilih sejak lahir.
Tidak seperti permainan seram yang lain di mana pemain perlu melarikan diri atau berlawan dengan hantu. Permainan ini memerlukan pemain untuk berdepan dengan hantu mengambil gambar mereka.
Menurut kepercayaan, cara ini dikatakan dapat mengusir mereka.
3. Five Nights At Freddy’s

Ini merupakan antara permainan telefon pintar yang hangat ketika dahulu, mengambil inspirasi daripada satu kejadian yang pernah berlaku.
Difahamkan, permainan seram ini adalah berdasarkan satu kejadian berdarah di sebuah restoran Chuck E. Cheese di Colorado, Amerika Syarikat pada tahun 1993.
Nathan Dunlap, 19, telah menyerang lima orang pekerja restoran terbabit dengan menembak mereka. Empat daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah.
Hasil siasatan polis mendapati motif serangan Dunlap adalah kerana tidak berpuas hati gara-gara dipecat hanya lima bulan sebelum serangan terbabit.
Dia disabitkan atas empat kesalahan membunuh darjah pertama, cubaan membunuh dan beberapa tuduhan lain. Kini dia menghabiskan seluruh hidupnya di penjara.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: