*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.
Walaupun ia bukan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris memang digunakan di mana-mana dalam aspek pendidikan, pentadbiran dan kehidupan seharian kita.
Seperti yang ramai sedia maklum, bahasa Inggeris dibentuk hasil daripada pengaruh agama khususnya Kristian yang cukup kuat membantu kepada perkembangan nuansa dan istilah yang ada di dalamnya.
Kami kongsikan tiga perkataan dalam bahasa Inggeris yang sebenarnya berasal daripada kepercayaan agama menerusi artikel ini.
1. Goodbye

Perkataan goodbye mempunyai ejaan yang berbeza iaitu godbwye pada mulanya. Untuk pengetahuan anda, godbwye merupakan singkatan kepada ungkapan lebih panjang iaitu God be with you atau semoga Tuhan bersama kamu.
Menurut The Tabernacle Choir, sebutan asal ungkapan berkenaan ialah God be with ye. Perkataan God itu digantikan dengan good kerana pengaruh frasa seperti good day dan good evening.
2. Pariah

Pariah atau paria dalam bahasa Melayu merujuk kepada golongan orang atau kasta yang paling rendah martabatnya dalam masyarakat Hindu.
Selain itu, paria juga membawa maksud gendang yang akan dimainkan oleh masyarakat Hindu berkasta rendah di India sepanjang upacara keagamaan itu berlangsung.
Masyarakat berkasta rendah ditugaskan untuk menjaga parai (gendang) supaya mereka tidak dapat masuk ke kuil untuk menyertai acara keagamaan kerana golongan ini dilihat tidak suci dan hanya akan mencemari rumah ibadat mereka.
Kesannya, istilah itu melekat kepada individu-individu berkasta rendah dan keturunan yang mewarisi status sosial nenek moyang mereka menjadikan golongan berkenaan dikenali sebagai paria atau pemukul gendang.
Individu yang bertugas memukul gendang ini dihalang daripada masuk ke kuil. Atas sebab itu, istilah ini sangat dibenci kerana kita seolah-olah berkata individu lain tidak layak masuk ke rumah suci hanya kerana mereka golongan hina.
3. Holiday

Pernahkah anda terfikir kenapa istilah percutian dinamakan sebagai holi + day? Holiday sebenarnya memang datang daripada istilah holy day (hari suci).
Ia merujuk kepada hari di mana masyarakat Barat pada zaman dahulu akan diberikan rehat daripada pekerjaan. Festival-festival berbentuk keagamaan akan dijalankan pada hari tersebut.
Ditulis sebagai halig (suci) dan daeg (hari) dalam bahasa Inggeris lama, istilah ini mula membawa dua makna berbeza sekitar abad ke-15 kerana penggunaannya walaupun sebutannya masih serupa.
Walaupun kedua-dua istilah ini merujuk kepada hari yang sama pada awalnya, holiday kini membawa maksud tempoh berehat daripada pekerjaan secara khusus manakala holy day pula kekal merujuk pada hari-hari di mana upacara keagamaan akan dilangsungkan.
Apa istilah dalam bahasa Inggeris yang anda paling tidak sangka sebenarnya berasal daripada kepercayaan agama?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: