Berbeza dengan bahasa Melayu di mana peribahasanya datang dari sumber am, banyak pepatah dalam bahasa Inggeris bersumberkan kitab Bible.
Kami kongsikan tiga peribahasa Inggeris yang sebenarnya diambil terus daripada kitab tersebut menerusi artikel ini:
1. A leopard never changes its spots

Buat anda yang tidak pernah mendengar pepatah tersebut sebelum ini, ia membawa maksud sifat atau perangai seseorang (kebiasaannya dalam konotasi negatif) tidak akan berubah walaupun mereka sudah cuba sehabis baik kerana telah ditakdirkan untuk kekal seperti itu.
Kisah peribahasa tersebut berkait rapat dengan ayat dalam Jeremiah 13:23 (Versi Raja James), “Can the Ethiopian change his skin or the leopard his spots? Then may you also do good that are accustomed to do evil.“
2. The land of milk and honey

Kerap digunakan untuk menggambarkan sebuah negara mempunyai keadaan kehidupan yang baik dan rakyat mereka boleh membuat banyak wang di sana, peribahasa ini diambil daripada kisah Nabi Musa a.s. yang tertulis dalam kitab Bible.
Konsep tanah terpilih yang terkandung dalam ayat ini berkisar kepada perintah Tuhan agar Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya Bani Israil berpindah ke tanah subur dipercayai wilayah Kanaan untuk membangunkan komuniti mereka.
Kanaan yang kini sebahagian daripada Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan dipercayai mempunyai tanah yang subur, rumput segar, tumbuh-tumbuhan dan sumber air yang banyak bagi para pengikut Nabi Musa a.s. memulakan hidup mereka.
3. The writing is on the wall

Untuk pengetahuan anda, pepatah ini membawa maksud masa hadapan yang sudah ditetapkan. Secara ringkasnya, sesuatu yang buruk akan berlaku.
Terkandung dalam bab lima Kitab Daniel, ia datang daripada kisah Raja Belshazzar yang memerintah kerajaan Babylon. Semasa menyambut majlis keraian kejatuhan The First Temple, Belshazzar ternampak tulisan mene, mene tekel, upharsin pada dinding.
Tulisan berkenaan tidak dapat diterjemahkan sehingga beliau memanggil Nabi Danial a.s. untuk menterjemahkan perkataan tersebut. Rupa-rupanya, makna perkataan tersebut ialah numbered, numbered, weighed, divided yang ditafsirkan sebagai ramalan kerajaan Belshazzar tumbang kerana melanggar arahan Tuhan.
Ramalan itu benar-benar berlaku selepas Babylon jatuh ke tangan Jeneral Parsi, Gobryas yang mengakibatkan raja tersebut meninggal dunia.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: