3 Lagu Ini Buatkan Nama Tempat Di Malaysia Jadi Lebih Terkenal

Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menulis lagu terutamanya ketika anda tidak mempunyai idea yang berkualiti. Ilham untuk menulis lagu ini boleh datang dari pelbagai sumber seperti inspirasi, pengalaman, pembacaan atau apa-apa yang berada di sekeliling mereka.

Kami akan kongsikan tiga lagu Melayu siulan ramai yang telah mempopularkan nama-nama tempat di negara kita sama ada secara sengaja atau tidak menerusi artikel ini:

1. Taman Rashidah Utama – Wings

Sumber: Luvinis Blog

Salah sebuah lagu terkenal daripada kumpulan Wings, pencipta Taman Rashidah Utama iaitu Bob Lokman yang kini terkenal sebagai seorang pendakwah membuka cerita di sebalik judul dan liriknya digarap seperti itu.

Menurut Bob, ia berpunca daripada minatnya terhadap seorang remaja yang berasal dari taman tersebut ketika zaman muda beliau. Selepas berkenalan selama beberapa tahun, Bob cuba menghantar rombongan meminang kepada keluarga wanita berkenaan yang menetap di Taman Rashidah Utama.

Selepas pinangan beliau ditolak, Bob kemudiannya melalui kawasan perumahan yang terletak di Seremban itu seorang diri dengan harapan dapat melihat gadis itu semula tetapi ia tidak membuahkan apa-apa hasil.

Bob akhirnya berputus asa dan dari situlah datang ilham untuk lagu Taman Rashidah Utama. Anda boleh baca dengan lebih lanjut tentang kisah lagu ini di sini.

2. Blues Terengganu Kita- Iklim

Gitaris kumpulan Iklim yang juga merupakan anak jati Terengganu iaitu Umarul Mahdzar telah berjaya mencipta sebuah lagu yang masih lagi menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

Penggunaan loghat Terengganu yang sengaja dikekalkan ini turut membawa identiti kuat dalam lagu tersebut. Blues Terengganu Kita mempromosikan negeri tersebut secara terang-terangan sebagai tarikan pelancongan dengan menyenaraikan lokasi-lokasi menarik seperti Pulau Redang, Marang, Pulau Kapas, Kuala Berang dan Kuala Kemaman.

Selain itu, tarikan seperti keropok, budu, belacan, batik, tembaga dan penyu turut berjaya diselitkan dalam lagu ini. Maka, ia bukan satu perkara yang pelik sekiranya kita melihat Blues Terengganu Kita kerap digunakan sebagai lagu rasmi untuk mempromosikan negeri tersebut dari segi pelancongan.

3. Sungai Lui- Aizat Amdan

Terletak di Hulu Langat di Selangor, penduduk asal Kampung Sungai Lui dikatakan merupakan mereka yang pernah menetap di Kampung Kerinchi sebelum ini.

Pada 1900-an, pihak kerajaan telah mengarahkan peneroka tanah dari Bukit Nanas, Seputeh, Subang dan Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur untuk berpindah kerana mereka ingin mengubah kawasan-kawasan tersebut menjadi bandar.

Jadi, Aizat bersama abangnya iaitu Anas cuba menjelaskan keindahan kampung tersebut sebelum alam semula jadinya terjejas kerana arus kemodenan yang pesat.

Sumber: Iluminasi

Apa pendapat anda berkenaan lagu tersebut?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kisah lagu, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: