3 Kisah Tersembunyi Mat Kilau Ini Jarang Diceritakan Kepada Orang Ramai

Siapa di antara anda yang sudah menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan? Mat Kilau merupakan salah satu pahlawan Melayu yang kuat menentang penjajahan British di negeri Pahang pada akhir abad ke-19.

Nama Mat Kilau kembali meniti di bibir rakyat Malaysia selepas filem arahan Syamsul Yusof itu menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Kami kongsikan tiga kisah berbeza berkenaan Allahyarham Mat Kilau yang jarang diceritakan kepada orang ramai dalam artikel ini.

1. Identiti Mat Kilau jadi perdebatan masyarakat

Sumber: Relevan

Selepas menyembunyikan diri selama lebih tujuh dekad untuk mengelak daripada diburu penjajah British, Mat Kilau akhirnya keluar dari persembunyian pada 26 Disember 1969 (Jumaat) di Masjid Kampung Pulau Tawar di Jerantut, Pahang.

Insiden ini mengejutkan semua pihak kerana ramai orang berpendapat Mat Kilau telah menghembuskan nafas terakhir dalam satu pertempuran dengan tentera Inggeris walaupun ada khabar angin yang berkata beliau terselamat dalam keadaan cedera parah.

Banyak pihak menyangkal dakwaan seorang lelaki tua yang kurus dan lebih dikenali sebagai Mat Siam dalam kalangan penduduk kampung itu adalah Mat Kilau yang terkenal. Perdebatan mula muncul kerana dakwaan itu hanya bergantung kepada pengakuan individu itu semata-mata.

Menurut Relevan, kedua-dua wartawan Utusan Malaysia yang menemu bual Mat Kilau secara eksklusif selepas pahlawan itu membuat kemunculan semula iaitu Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad mendapati beliau masih boleh berjalan dengan gagah tetapi pandangannya sedikit kabur. Pendengaran Mat Kilau juga masih jelas.

Kelakuan individu mengaku Mat Kilau itu yang didapati cukup memahami selok-belok urusan Istana Pekan ketika dipanggil menghadap Sultan Pahang juga sedikit sebanyak menutup mulut mereka yang menyangkal dakwaan tersebut.

2. Usaha memfilemkan kisah hidup Mat Kilau sudah lama berjalan tanpa hasil

Pelakon-pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Sumber: Instagram Fattah Amin

Selepas kemunculan semula Mat Kilau pada tahun 1969 dan pengesahan kerajaan Pahang berkenaan identiti beliau, usaha untuk memfilemkan kisah hidup pahlawan itu mula digembar-gemburkan sekitar tahun 1970.

Pertubuhan Shaw sudah mengumumkan rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan Merdeka Film Productions bagi memperhalusi idea tersebut.

Walau bagaimanapun, idea untuk memfilemkan kisah hidup Mat Kilau tidak menemui titik permulaannya kerana terdapat banyak tanda tanya dan kontroversi berkenaan status sebenar kesahihan identiti pahlawan berkenaan.

Hanya pada tahun 2022, sebuah filem yang digarap berdasarkan kisah hidup beliau dengan wujudnya elemen yang ditokok tambah untuk mengangkat penceritaan berjaya diterbitkan.

3. Jins Shamsuddin marah Mat Kilau dipakaikan kot

Sumber: Iluminasi

Selepas membuat kemunculan semula dan wujud desas-desus kisah hidupnya akan difilemkan, Mat Kilau mula diberikan pendedahan dan peluang untuk muncul dalam media.

Dalam satu laporan akhbar yang disiarkan ketika pahlawan itu masih hidup, Mat Kilau dilihat berpakaian kot yang jelas merupakan peninggalan British.

Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menyifatkan pemilihan pakaian itu untuk dipakaikan kepada seorang pahlawan Melayu yang mengabdikan diri menentang penjajah sebagai satu pengkhianatan kepada Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan Melayu di Pahang.

Seniman legenda itu berkata busana yang sepatutnya dipakai Mat Kilau mestilah melambangkan orang Melayu, bertanjak dan berkeris supaya ia lebih kena dengan kisah hidupnya.

Jins mengkritik mereka yang tidak sensitif dengan isu tersebut sehingga sanggup memakaikan pahlawan Melayu pakaian yang menjadi legasi penjajah yang telah berjaya ditinggalkan.

Apa-apa pun, tiada maklum balas berkenaan kritik itu direkodkan sama ada daripada pihak penganjur majlis atau keluarga Mat Kilau sendiri.

Pada pendapat anda, apakah kisah tersembunyi tentang Mat Kilau yang paling menarik perhatian?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: