Tahun demi tahun, pelbagai filem tempatan telah dihasilkan untuk tontonan umum dan setiap filem mempunyai keunikannya masing-masing. Setiap hasil karya yang telah dicipta oleh penggiat seni tempatan telah membuktikan bahawa mereka tidak kurang hebat dalam menghasilkan naskhah-naskhah hebat yang penuh makna.
Filem-filem tempatan negara kita kebanyakannya telah berjaya merangkul pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa serta kutipan hasil filem yang memberangsangkan. Terdapat beberapa naskhah filem yang tidak lekang dek zaman ataupun dengan kata lain ‘filem merentas masa’ walaupun naskhah-naskhah tersebut telah lama ditayangkan.
Pelbagai genre yang membuat penonton tidak kering gusi dengan jenaka-jenaka yang disertakan dalam filem hingga membuat penonton terpukau dengan aksi-aksi yang dipamerkan. Filem-filem ini telah diturunkan kepada generasi kini agar generasi muda dapat mempelajari nilai-nilai yang disertakan untuk dijadikan sebagai teladan hidup.
Berikut kami senaraikan 3 buah filem tempatan merentasi masa yang sehingga kini masih menjadi tontonan dan siulan masyarakat.
1. Pendekar Bujang Lapok

Filem Pendekar Bujang Lapok merupakan sebuah filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 1959. Filem Pendekar Bujang Lapok diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih. Filem Pendekar Bujang lapok telah diarahkan oleh AllahyarhamTan Sri P. Ramlee.
Filem Pendekar Bujang Lapok berkisarkan tentang tiga orang pemuda iaitu Ramlee, Sudin, dan Aziz yang ingin mempelajari tentang silat dengan pendekar Mustar untuk mempertahankan diri dan kampung mereka daripada kumpulan samseng.
Untuk pengetahuan, seniman P. Ramlee dan sindiran halusnya terhadap sistem feudalism sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada karya-karyanya.
Filem ini sangat menggelikan hati penonton. Ini telah dibuktikan apabila Filem Pendekar Bujang Lapok telah berjaya memenangi Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik yang telah diadakan di Kuala Lumpur. Kekuatan filem ini adalah telatah-telatah yang telah ditunjukkan oleh Ramlee, Aziz, dan sudin sepanjang durasi filem ini.
Filem-filem arahan P. Ramlee pasti akan sentiasa mendapat tempat di hati penonton tanpa mengira peringkat umur atau generasi.
2. Gila-Gila Remaja

Filem arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan iaitu Gila-Gila Remaja telah menjadi filem merentas masa. Dialog paling popular yang pasti tidak akan hilang dari ingatan penonton ialah “Roy, Roy,hati kau keras”.
Apabila seseorang mengungkapkan dialog ‘berhantu’ tersebut, pasti kita dapat meneka dialog tersebut diungkapkan daripada filem mana.
Ditambah dengan pelakon kacak pada zaman itu iaitu Faizal Hussein, cukup untuk membuatkan anak-anak gadis tersenyum lebar apabila melihat Faizal Hussein memainkan watak Azroy. Tidak cukup dengan itu, heroin dalam filem ini iaitu Suziana yang dimainkan oleh Rehana Yassin membuatkan pemuda-pemuda tidak tidur malam mengenangkan Suziana.
Jika filem ini dimainkan di kaca televisyen pada masa kini, ia pasti membuatkan mereka yang pernah melalui zaman 80-an dan 90-an dahulu teringat-ingat kenangan indah pada waktu dahulu.
3. Lagi-Lagi Senario

Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan pelawak yang sentiasa membuat kita kering gusi. Kumpulan Senario yang terdiri daripada Wahid, Azlee, Yassin, Saiful Apek, dan Mazlan atau lebih dikenali sebagai ‘Lan Pet-pet’ telah menjadi pelakon utama dalam filem sekuel mereka yang berjudul Lagi-Lagi Senario.
Ia berkisarkan tentang Wahid yang bekerja di sebuah restoran eksklusif menjadi mangsa kegawatan ekonomi dan perlu mencari kerja baru. Dia akhirnya menjadi pelayan di warung Azlee bersama Yassin dan Saiful yang terkenal dengan roti canai buatan mereka. Segalanya berubah apabila Mazlan membuka sebuah warung baru bersebelahan warung Azlee dan menjadi pesaing bisnes mereka.
Pelbagai jenaka dan telatah telah ditunjukkan oleh barisan pelakon ini dan babak yang paling ikonik dalam filem ini pastinya semasa Wahid menebar baju dalam bilik air rumahnya sebagai latihan menebar roti canai. Dia turut memperkenalkan ‘Roti Canai Terbang Rock and Roll’ yang berjaya menarik lebih ramai pelanggan ke warung Azlee.
Filem Lagi-Lagi Senario telah mendapat kutipan tertinggi pada tahun 2001 hingga 2009 dengan kutipan berjumlah RM6.33 juta. Filem yang diarahkan oleh Osman Ali ini bukan sahaja menampilkan ahli-ahli kumpulan Senario malah menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Wardina Safiyyah, Ani Maiyuni, Accapan, Syanie, Robert Kong, Nabila Huda, Allahyarham Nasir Ali, dan Allahyarham Osman Kering.
Jadi, filem tempatan manakah yang masih melekat di hati dan fikiran anda?
Penulis:
- Arif Aiman Asrol adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.