Filem Toy Story pertama telah dikeluarkan pada 25 tahun yang lalu, namun popularitinya masih berterusan hingga ke hari ini apabila mempunyai 4 sekuel yang mana sekuel terbaru, Toy Story 4 dilancarkan pada tahun lepas.
Toy Story pertama telah ditayangkan pada tahun 1995 dan memperkenalkan peminat kepada watak ikonik kegemaran ramai, Woody (Tom Hanks) dan Buzz Lightyear (Tim Allen).
Ini merupakan 3 fakta menarik yang terjadi di sebalik kegemilangan filem Toy Story yang mungkin mengejutkan dan tidak diketahui ramai:
1. Nama asal Buzz Lightyear adalah Lunar Larry.

Tahukah anda watak patung mainan angkasawan dalam filem ini iaitu Buzz Lightyear pada asalnya bernama Lunar Larry? Selepas perbincangan dilakukan dalam kalangan produser, nama Larry kemudiannya ditukar kepada Tempus from Morph pada mulanya, namun akhirnya ditukar kepada Buzz Lightyear, diinspirasikan dari angkasawan sebenar iaitu Buzz Aldrin.
Sememangnya penukaran nama watak dari Lunar Larry kepada Buzz Lightyear adalah keputusan yang tepat. “To infinity and beyond!”
2. Toy Story 2 (1999) hampir terpadam sepenuhnya.

Pada tahun 1998, setahun sebelum pengeluaran filem Toy Story 2, satu kesilapan besar telah terjadi di Pixar, syarikat produksi Toy Story di mana kesilapan teknikal telah berlaku pada sistem data yang mereka gunakan. Malangnya, sistem sandaran (backup system) juga gagal mengembalikan data yang hilang menyebabkan hampir 90 peratus data mengenai filem tersebut telah terpadam.
Bagaimanapun, filem dapat diselamatkan apabila salah seorang pekerja mereka, pengarah teknikal mempunyai salinan ganti yang disimpan dari rumah dan hampir keseluruhan data dapat dipulihkan semula.
3. Kemunculan Barbie pada filem Toy Story yang pertama.

Seperti yang kita tahu watak Barbie telah membuat kemunculan dalam filem sekuel, Toy Story 2 dan Toy Story 3, namun sebenarnya penglibatan watak Barbie pada mulanya juga mahu dimasukkan ke dalam filem asal Toy Story tetapi telah ditolak oleh pencipta Barbie, syarikat Mattel. Maka itu watak Barbie dalam filem Toy Story telah digantikan dengan watak Bo Peep.
Dipercayai penolakan tawaran oleh Mattel disebabkan oleh tidak mahu watak Barbie terlibat dalam mana-mana filem animasi yang lain kerana mahu mengekalkan keaslian Barbie itu sendiri. Walaubagaimanapun, ternyata Mattel telah mengubah fikiran apabila melihatkan kemunculan watak Barbie serta Ken dalam filem sekuel Toy Story 2 dan Toy Story 3.
Penulis:
- Nur Zakiah binti Ahmad adalah seorang pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana.
- Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.